Thursday, July 9, 2009

USAH MEMBUJANG

Hari ni.. kite nak share satu artikel yg di hantar oleh seorang cyberfriend kite .. kat virtualfriend.. Tertarik kite ngan artikel ni.. walaupun.. dah mcm2 artikel kite jumpe dan bace kat majalah ke blog ke forum ke... tapi artikel ni tetap ade isi yg logik dan lain yg menarik untuk menjadi peringatan untuk kite dan juge ..sesape saje yg memerlukan... !! hehehe... k la... Jom kite bace sesame...

USAH MEMBUJANG.....!!

Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.

Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.


Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.

Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri.

Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.

Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?

“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.

“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.

Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.

Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.

Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.

Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.

“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.

Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu.

“Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.

Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.

“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai.

“Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.

“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.

Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.

Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini.

Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.

Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A'raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...