Friday, August 27, 2010

Lailatul Qadar

Lailatul Qadar ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran?

Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

(al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.

Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam
Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT

supaya setiap umat Islam menghayati keseluruhan bulan Ramadhan ini terutamanya 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat.

Dengan beribadah
dengan penuh keikhlasan dan khusyuk, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.



********************
sumber ini sy perolehi dari:
Laman Web Jakim (islam.gov.my) oleh
Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

boleh dapatkan hadis serta sanadnya yang mengatakan Rasullulah menjawab lailatulqadar pada mlm 27 ramadan.

AdminMyLavender said...

Sy sekadar berkongsi dari hasil pembacaan,sedangkan sy bukan di kalangan tinggi ilmu spt ini..., sy yg masih dlm pencarian... dan bagi menjawab pertanyaan anda(yg buat sy berfikir dan teruja utk mengetahuinya juga, sy terus mencari lagi dan menjumpai artikel ini, harap dapat komen anda dan terusla menegur sekiranya ada kesilapan dan kekurangan dari perkongsian info ini. Terima kasih kerana menambahkan maklumat2 yg sy cari..... ;)

*****************************************
PERSOALANNYA....bilakah malam Al-Qadr itu ?

Dalam menjelaskan perkara ini, terdapat satu riwayat dari 'Ubadah Ibn al-Samit, bahawa bersabda Rasulullah saw;

" Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir; malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam terakhir."
Hadith riwayat Imam Ahmad.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily lagi, kebanyakan ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 27 Ramadhan setiap tahun. Ini berdasarkan hadith Zirri Ibn Hubaish yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tarmizi, (hadith hasan sahih).

Berkata Zirri; " Aku telah bertanya Ubay Ibn Ka'ab: Sesungguhnya saudara kamu 'Abdullah Ibn Mas'ud berkata: Barangsiapa yang berterusan mengerjakan ibadah (malam Ramadhan), dia akan bertemu malam al-Qadr. Jawab Ubay: Moga-moga Allah mengampunkan Abu Abdul Rahman ('Abdullah Ibn Mas'ud) ! Sesungguhnya dia mengetahi bahawa malam al-Qadr adalah malam dalam lengkongan sepuluh malam terakhir dan dia adalah malam 27 Ramadhan. Akan tetapi dia tidak mahu orang ramai hanya beribadah pada malam itu sahaja. Kemudian beliau bersumpah secara biasa (tanpa ucapan Insya' Allah) . Bahawa masa berlakunya ialah pada malam 27 Ramadhan. lalu aku bertanya: " Apakah alasan anda berkata demikian, wahai Abu Munzir ? " Jawabnya: " Berdasarkan ayat yang telah disampaikan oleh Rasulullah saw atau melalui tanda bahawa matahari muncul pada pagi tersebut dalam keadaan redup."

*dari petikan laman blog: http://mhuzazi.blogspot.com/2010/08/anugerah-al-qadr-rebutlah.html
******************************

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...